SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyifatkan arahan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah usaha yang terbaik dalam situasi sekarang.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pada masa yang sama kerajaan juga giat berusaha bagi memastikan akses pendidikan sampai kepada semua pelajar.
Menurutnya, kerajaan sedar terdapat segelintir pelajar yang tidak mempunyai akses internet, oleh itu pelbagai langkah turut di-ambil dengan menggunakan kaedah tertentu supaya tiada pelajar yang tercicir.
"Sebab itulah kerajaan telah mulakan penggunaan televisyen pendidikan. Selain itu, ada sesetengah negeri menggunakan stesen radio tempatan untuk mereka melaksanakan pembe-lajaran.
"Guru sendiri ada kaedah sendiri walaupun ramai murid yang tidak ada internet. Mereka masih boleh menggunakan WhatsApp atau Telegram yang tidak memerlukan kemudahan yang canggih sebagaimana pembelajaran secara dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, walaupun mungkin tidak mencapai tahap 100 peratus tetapi pihaknya sudah cukup bersyukur sekiranya sebahagian besar pelajar dapat mengikuti pembelajaran yang cuba guru sampaikan.
"Jadi, untuk itu kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang cuba melakukan sehabis baik demi pendidikan negara,” katanya.
Pada masa yang sama, Aminuddin turut meminta ibu bapa agar turut memainkan peranan dengan membantu anak-anak belajar di rumah.