TANJONG KARANG - Polis menutup jambatan besi menghubungkan Pekan Tanjong Karang di sini selepas tular beberapa pemandu kereta didakwa menggunakan laluan itu untuk mengelak sekatan jalan raya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, jambatan besi yang merupakan laluan alternatif penduduk sekitar itu ditutup dengan penghadang konkrit yang hanya boleh dilalui penunggang motosikal dan penjalan kaki.
Menurutnya, polis sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di laluan itu bagi mengelakkan pemandu kereta menggunakan jambatan besi yang sempit dan membahayakan keselamatan.
"Kita juga sediakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dari semasa ke semasa bagi memantau laluan tersebut," katanya.
Sebelum ini tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang mengecam sikap pemandu kereta menggunakan jambatan besi itu yang dianggap tidak selamat dan boleh mengancam nyawa.
Seorang pengguna Facebook dikenali Zulhafizan Atai di ruangan komen memaklumkan keadaan jambatan itu berbahaya.
"Kita harap selepas PKP tamat, lantai jambatan yang karat ini dapat ditukar. Jika diperhatikan ada lubang kecil di bahagian lantai dan keadaan menjadi licin ketika hujan," katanya.