PENYERANG Manchester United, Odion Ighalo mendedahkan dia belum mendapat sebarang tawaran daripada kelab itu untuk menyambung khidmatnya secara tetap di Old Trafford.
Pemain berusia 30 tahun itu menyertai United secara pinjaman daripada Kelab China, Shanghai Shenhua pada Januari dengan kontrak pinjaman itu akan berakhir pada Jun ini.
"Masih belum ada sebarang tawaran diberikan kepada saya. Mungkin kerana musim ini dan kontrak pinjaman saya masih belum berakhir.
"Saya tidak membuat keputusan sendirian dalam hidup ini. Saya ada prinsip dan garis panduan untuk semua yang saya buat," katanya.
Ighalo sudah membuat lapan penampilan buat The Red Devils sejak dipinjamkan pada Januari lalu dan beraksi cemerlang meledak empat gol.
Sebelum ini, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer tidak menolak kemungkinan akan mendapatkan Ighalo secara tetap di pasukan itu sekiranya pemain kelahiran Nigeria tersebut tampil cemerlang.
Dalam pada itu, Ighalo menegaskan dia tidak ambil kisah dengan kecaman segelintir penyokong United yang tidak suka dengan kehadirannya di kelab itu.
"Saya lihat banyak komen mengenainya. Saya juga baca ramai yang suruh saya balik ke China dan ada juga yang mahu saya kekal.
"Untuk tempoh tersebut saya tidak mahu beri sebarang kenyataan. Apabila selesai musim ini dan saya dapat tawaran baru saya akan duduk berfikir.
"Namun, apa juga boleh berlaku. Yang penting saya mahu akhiri musim ini terlebih dahulu," katanya.