SHAH ALAM - Kerajaan Selangor hari ini memulakan ujian saringan berskala besar di beberapa kawasan panas di sekitar daerah Hulu Langat bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses saringan komuniti tersebut merupakan yang pertama di negara ini dalam usaha melandaikan keluk (flattening the curve).
Menurutnya, sebanyak 400 hingga 500 ujian saringan akan dilaksanakan sehari supaya lebih banyak kes dapat dikenal pasti terutama melibatkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas dengan bantuan analisis data (big data analysis).
"Ini merupakan usaha sama kerajaan negeri bersama pihak swasta dan disokong oleh sukarelawan dengan penyelarasan anak syarikat kerajaan negeri, Selcare.
"Misi saringan ini dilaksanakan mengikut prosedur dan pengawalan yang ketat dengan penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan pematuhan pada penjarakan sosial," katanya.
Menurutnya, saringan bersasar secara massa berkenaan dikendalikan oleh 48 petugas perubatan.
Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan operasi tersebut terutama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sukarelawan yang sanggup mengambil risiko berada di garisan hadapan.
"Semoga pendekatan saringan komuniti yang lebih berstrategi ini berjaya dan diberkati-NYA," katanya.