MELAKA TENGAH - Kira-kira 200 keluarga golongan B40 sekitar Pulau Gadong di sini menerima sayur-sayuran yang diagihkan dari rumah ke rumah.
Program pemberian yang diketuai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee mempunyai kelainannya pada kali ini apabila turut menerapkan dan mementingkan pemakanan berkhasiat dalam kalangan penduduk biarpun terpaksa melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.
Norhizam berkata, walaupun tujuan utamanya untuk meringankan beban penduduk, namun tidak boleh melupakan usaha menggalakkan orang ramai mengamalkan pemakanan sihat sebagai langkah bersama memerangi wabak koronavirus (Covid-19) selain mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dengan berada di rumah.
"Sumbangan yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pembela Klebang Besar dengan kerjasama kerajaan negeri ini bagi memberi peluang kepada penduduk menyediakan makanan yang berkhasiat.
"Kira-kira 100 kilogram sayur-sayuran diagihkan secara percuma kepada penduduk di sekitar kampung ini dan ini salah satu pendekatan menyelami perasaan rakyat yang terpaksa berhadapan Covid-19," katanya.
Hadir sama, Pengerusi Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.
Sebelum ini Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu menyampaikan sumbangan barangan dapur dalam kawasan DUN itu.
Sementara itu, penerima, Rosli Hussin berkata, dia yang menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi bersyukur setelah menerima sumbangan berkenaan.
"Sekarang saya tidak lagi bekerja, nak keluar beli barang pun susah. Bila ada orang berikan barangan sayur-sayuran memang saya bersyukur dan hargai.
"Biarpun saya tinggal seorang diri tapi sekurang-kurangnya membantu ringankan beban selain terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.