Negeri Sembilan tunggu SOP KKM

Iklan
Aminuddin (dua dari kiri) menerima sumbangan topeng muka dan kopi segera daripada wakil OrgaBio Manufacturing di kediaman rasmi beliau di Seremban semalam. Turut kelihatan, Mohamad(kanan)

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk menangguhkan kebenaran beroperasi ke atas kedai gunting rambut dan kedai cermin mata sehingga mendapat prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri mengambil kira risiko penyebaran Covid-19 sekiranya kedua-dua jenis perniagaan itu berjalan tanpa SOP daripada KKM.

Iklan
Iklan

"Jika ada SOP atau garis panduan yang lebih ketat disediakan oleh KKM, kita tiada masalah untuk benarkan kedai-kedai itu beroperasi sepanjang tempoh PKP ini.

"Cuma SOP perlu jelas supaya tidak berlaku masalah akan datang. Di kedai gunting rambut misalnya, adakah pelanggan yang datang diambil nama dan alamatnya atau bagaimana. Semuanya perlu diperhalusi,” katanya pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini semalam.

Iklan

Aminuddin berkata, apabila KKM sudah menyediakan SOP kelak, kedai gunting rambut dan cermin mata di negeri ini akan dibenarkan beroperasi setiap Rabu dan Sabtu mulai jam 9 pagi hingga 3 petang.

Menurutnya, kebenaran beroperasi pada hari dan waktu yang sama juga terpakai pada perkhidmatan kedai dobi dan barangan elektrik serta elektronik.

Iklan

"Kita selaraskan hari dan waktu untuk sektor dan industri yang diberi ruang untuk jalankan aktiviti mereka bagi mengurangkan risiko.

"Seperti mana yang diumumkan oleh kerajaan semalam, kesemua syarikat di dalam sektor tambahan yang diberi beroperasi boleh membuat permohonan beroperasi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) secara dalam talian bermula Isnin depan,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin menerima sumbangan topeng muka dan kopi segera daripada syarikat OrgaBio Manufacturing Sdn Bhd yang kemudian diserahkan kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop untuk kegunaan barisan hadapan.