Yang di-Pertuan Agong sokong pelanjutan PKP

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan sokongan terhadap keputusan kerajaan melanjutkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke fasa ketiga bermula 15 hingga 28 April ini.

Sehubungan itu, Seri Paduka menitahkan supaya rakyat mematuhi PKP dan semua arahan terkini yang dikeluarkan agensi kerajaan khususnya untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong bertitah, pelanjutan PKP membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasar yang dikenalpasti menjadi punca penularan wabak.

"Yang lebih penting ialah supaya pandemik ini dapat diakhiri agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa, sihat dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan agar rakyat terus bersabar dan tabah menghadapi dugaan dengan tatacara kebiasaan baharu.

"Rakyat turut dinasihatkan sentiasa berwaspada, menjaga kebersihan diri, amalkan jarak sosial dan elak daripada menghadiri sebarang perhimpunan serta hindari tempat yang sesak,” katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PKP dilanjutkan hingga 28 April ini

Ahmad Fadil berkata, susulan pelanjutan PKP dan situasi terkini, atas nasihat KKM Istana Negara tidak akan menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis keagamaan seperti tahlil sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, keputusan itu mengambil kira faktor keselamatan dan bagi mengelak risiko ke atas semua pihak terutamanya rakyat.

Beliau berkata, Seri Paduka turut menasihati umat Islam di negara ini supaya menyambut bulan Ramadan dengan menumpukan kepada amal ibadat, berdoa dan bertawakal kepada ALLAH SWT bagi mengharungi ujian ini di samping sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan dan kesihatan diri, keluarga dan komuniti. - Bernama