PEMAIN tengah Juventus, Aaron Ramsey menyifatkan rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang luar biasa berdasarkan komitmennya dalam setiap sesi latihan dan perlawanan.
Menurutnya, Ronaldo tidak pernah mengenal soal putus asa, apatah lagi erti penat walaupun sudah berusia 35 tahun - angka yang disifatkan waktu sesuai untuk bersara bagi seorang pemain bola sepak.
"Dia seorang atlet yang luar biasa. Dia akan datang awal dalam setiap sesi latihan dan terlebih dulu ke gimnasium dan barulah dia akan ke padang untuk berlatih.
"Saya boleh menggambarkan dia sebagai seorang pemain yang sentiasa ingin menang dalam setiap perlawanan besar mahupun perlawanan kecil ataupun dalam sesi latihan.
"Tanpa disuruh dia akan berlatih sepakan percuma, tendangan dan beberapa latihan lain. Saya tidak perlu memberitahu anda semua betapa bagus atau bersemangat Ronaldo. Dia luar biasa dan dia adalah seorang atlet yang hebat sepanjang zaman," katanya.
Prestasi pemenang lima kali Ballon d'Or itu dilihat cukup menyinar bersama Juventus dan sedang menikmati waktu terbaiknya di Turin selain turut muncul watak penting dalam skuad The Old Lady itu.
Ronaldo telah menjaringkan 25 gol dalam 32 penampilannya dalam semua kejohanan musim ini sebelum Serie A ditangguhkan akibat penularan pandemik Covid-19.
Kapten Portugal itu juga berpeluang meraih treble bersama Juventus musim ini apabila kelab handalan Itali itu masih dalam pemburuan kejuaraan Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara.