KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluas operasi sanitasi awam di kawasan berstrata kos rendah serta sederhana rendah melibatkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia juga susulan keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi secara berperingkat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dari 14 April hingga 28 April.
"Selangor mempunyai banyak kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi dan menjadi tumpuan orang ramai, jadi inisiatif ini bagi memastikan banyak kawasan di negeri ini dinyahkuman...Selangor mencatat kes paling tinggi positif Covid-19, jadi sebab itu juga kita tingkatkan usaha dan perluaskan operasi ini.
"Majlis Perbandaran Ampang Jaya ada 15 perumahan kos rendah dan hari ini, kita jalankan operasi itu serentak di tujuh perumahan dan baki lapan lagi akan dibuat esok,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau operasi sanitasi di sini hari ini.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, operasi sanitasi tersebut melibatkan 37 skim perumahan yang telah dikenal pasti membabitkan sejumlah 20,520 unit di bawah enam PBT termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang.
Zuraida berkata, operasi sanitasi itu hanya memfokus kepada kawasan guna sama seperti koridor, tangga, lif dan rumah ibadat yang melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PBT serta Badan Pengurusan Bersama skim perumahan terbabit dan agensi lain.
"Kita mengharapkan agar peluasan kawasan operasi sanitasi ini akan memberi kesan positif kepada pengurangan kes Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian jangkitan wabak itu,” katanya.
Beliau turut menyeru agar penduduk di kawasan terbabit memberikan kerjasama dan mematuhi saranan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Katanya, bahan semburan yang digunakan tidak memberi kesan sampingan terhadap kesihatan awam.
Secara keseluruhan, Zuraida berkata, KPKT di bawah Taskforce Sanitasi Awam Covid-19 sebelum ini telah selesai menjalankan sejumlah 1,125 operasi merangkumi 83 zon iaitu 24 Zon Merah, 15 Zon Jingga dan 44 Zon Kuning. - Bernama