PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap portal berita yang melaporkan berita mengelirukan dan maklumat tidak tepat.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius perkara itu kerana berita tidak sahih dan tidak tepat mampu mengelirukan seterusnya menimbulkan keresahan rakyat.
"Mesyuarat pagi tadi memutuskan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis mengambil tindakan tegas terhadap portal berita yang mengelirukan dan menyampaikan maklumat tidak tepat.
"Saya mohon kepada portal berita supaya lebih beretika melaporkan berita sahih dan tepat," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.
Mengulas mengenai rakyat Malaysia yang kini masih berada di luar negara, beliau berkata, kerajaan melalui Kedutaan Malaysia memantau rapat keadaan rakyat negara ini yang terkandas di luar negara seperti di India, Sri Lanka, Mesir, Arab Saudi dan Turki.
"Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka yang terkandas pulang ke tanah air. Setakat ini, 80 rakyat Malaysia telah pulang dari Arab Saudi dengan kerjasama dan sumbangan kerajaan Arab Saudi.
"Begitu Juga 285 rakyat Malaysia telah selamat tiba dari Mesir dan 81 rakyat Malaysia dijadualkan tiba dari India dan Sri Lanka pada 14 April 2020," katanya.
Beliau, seramai 355 rakyat Malaysia yang berada di Algeria dan Tunisia akan diterbangkan masuk ke Malaysia dengan kos ditanggung oleh syarikat swasta.
"Bagi pelajar-pelajar kita di luar negara pula, saya sebelum ini pernah menyatakan bahawa tinggal dahulu di negara yang mereka tinggal sekarang," katanya.