SINTOK - Nasib kucing terbiar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok terbela apabila Persatuan Mahasiswa UUM Pecinta Kucing mengambil inisiatif memberikan makanan sebanyak dua kali sehari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kira-kira 150 ekor kucing di sekitar kampus tersebut diberikan perhatian dan sebanyak 20 kilogram makanan kucing diperuntukkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu pada setiap hari.
Menurut sukarelawan Persatuan Mahasiswa UUM Pecinta Kucing, Anis Sofiani Abdul Ghani, dia bersyukur kerana masih ramai yang sudi membantu menghulurkan sumbangan untuk membeli makanan kucing di sini.
"Sejak arahan PKP ini, kampus mulai lengang dan banyak kafeteria tidak beroperasi dan haiwan kecil itu sukar untuk mendapatkan makanan.
"Kami seramai 17 pelajar yang bergerak di bawah Persatuan Mahasiswa UUM Pecinta Kucing akan berpecah di sekitar UUM untuk memastikan semua lokasi yang mempunyai haiwan ini akan mendapat bekalan makanan secukupnya," katanya.
Katanya, NGO itu akan memastikan wang sumbangan diterima digunakan sebaik mungkin untuk membeli keperluan makanan kucing-kucing terbiar itu.
"Ini adalah salah satu sumbangan kami kepada makhluk Allah terutamanya ketika menghadapi wabak Covid-19 ketika ini.
"Wang yang diterima juga akan digunakan untuk menampung kos rawatan kucing yang sakit agar mereka juga dapat menjalani kehidupan yang sihat," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nor Dalila Youb berkata, makanan kucing itu akan diagihkan di bangunan pusat pengajian, medan selera, kafeteria dan bangunan pentadbiran lain di sekitar kampus tersebut.
"Kami akan berpecah mengikut kumpulan dan mencari lokasi yang kebiasaannya menjadi tumpuan kucing- kucing termasuk di Inapan Siswa,” katanya.
Nor Dalila berkata, bagi menjaga kebersihan kawasan, mereka menyediakan autofeeder dan dispenser terutamanya untuk kawasan di luar INASIS seperti pusat pengajian dan medan selera.