LGM siasat insiden pencemaran Sungai Meru

Iklan
Salah seorang penduduk menunjukkan bangkai ikan hanyut akibat pencemaran Sungai Meru.

IPOH - Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengarahkan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan lembaga itu menjalankan siasatan terperinci bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Meru di sini.

Menurut kenyataan LGM, pihaknya tidak akan teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen mana-mana premis berdaftar dengan LGM sekiranya pemegang lesen didapati melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Iklan
Iklan

"Seorang pemegang lesen perlu memberikan penjelasan terhadap sesuatu isu dan sekiranya pihak lembaga tidak berpuas hati, lesennya boleh digantung atau dibatalkan kerana telah mencemarkan imej baik industri getah berdasarkan Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014, di bawah Peraturan 10(1)(g)," demikian menurut kenyataan LGM hari ini.

Tambah kenyataan itu, LGM prihatin dan menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar selain komited untuk mengawal selia kilang-kilang yang beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19 di samping mempertingkatkan usaha sama dengan JAS.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan darat terjejas, pencemaran Sungai Meru

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin semasa tinjauan di lokasi berkata, pencemaran di Sungai Meru sepanjang lebih satu kilometer berpunca daripada kecuaian dua pekerja sebuah kilang sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Jelapang.

Iklan

Mohd Akmal, yang memangku portfolio Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau berkata, siasatan awal bersama JAS negeri mendapati kedua-dua pekerja kilang itu terlupa untuk menutup injap tangki simpanan selepas mencucinya sebelum memindahkan bahan mentah getah ke dalamnya.

Akibat daripada itu, bahan mentah tersebut telah tumpah dan mengalir menerusi saluran ke dalam Sungai Meru yang terletak kira-kira satu kilometer dari kilang berkenaan.- Bernama