Annuar janji beri hak penduduk rumah panjang Bukit Kiara

Iklan
Annuar (kiri) bertemu penduduk rumah panjang Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi jaminan berhubung hak 100 penduduk rumah panjang Bukit Kiara untuk mendapatkan rumah ganti seperti dijanjikan lapan tahun lalu akan diteruskan.

Annuar berkata, projek tertangguh itu akan diteruskan selepas prosiding mahkamah selesai, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk terlibat.

Iklan
Iklan

"Kabinet lapan tahun dulu bersetuju supaya penduduk yang asalnya duduk sementara di rumah panjang kerana dipindahkan dari kawasan sekitar yang dibangunkan akan menerima rumah ganti.

"Saya akan pastikan mereka dapat hak mereka, dah tunggu terlalu lama sampai ada yang dah meninggal dunia. Nampak seperti kita tak ada keupayaan menyelesaikan masalah ini," katanya selepas membuat lawatan ke rumah panjang itu hari ini.

Iklan

Menurutnya, projek tersebut juga tidak melibatkan penggunaan tanah hutan Taman Rimba Kiara yang menjadi bantahan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sebelum ini.

"Masa mereka duduk di sini saya bekerja di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Saya masuk semula ke sini selepas 38 tahun jadi menteri, mereka masih duduk di rumah panjang. Ini tidak adil kepada mereka," katanya.

Iklan
Annuar (kanan) bertemu penduduk rumah panjang Bukit Kiara hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau bersedia membuka rundingan dan berharap tiada pihak cuba menghalang usaha penduduk mendapatkan hak mereka.

"Kita dah beri peluang kepada pihak yang bawa kes ini ke mahkamah, biarkan proses itu berjalan tetapi dari segi penduduk, mereka patut dapat apa yang mereka layak.

"Satu rumah percuma setiap keluarga dan generasi kedua dapat rumah lain dengan harga diskaun seperti yang telah dipersetujui sebelum ini," katanya.

Katanya, beliau turut menjemput Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh untuk ke pejabatnya Isnin ini untuk perbincangan berhubung isu tersebut.

"Saya mulanya dapat info rumah yang nak dibuat ini akan kacau Taman Rimba Kiara tapi selepas hadiri penerangan, tengok pelan, susun atur (layout) dan dokumen, maka saya berani katakan tiada sebatang pokok atas tanah rimba ini akan diusik.

"Malah pemaju yang nak bangunkan tanah ini akan sediakan kawasan hijau dalam tanah persendirian sebagai nilai tambah taman rimba ini.

"Jangan ada pihak cipta kekeliruan, selepas keputusan mahkamah, tak boleh ada sebarang penangguhan lagi dan rumah panjang ini perlu digantikan dengan pangsapuri seperti dijanjikan," katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi sejak 2017 dan mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat itu bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Pemaju bersetuju mengurangkan saiz dan jumlah blok pangsapuri dengan keluasan projek itu dikecilkan daripada 4.9 hektar kepada 3.2 hektar dan antara pembangunan yang akan diteruskan, empat blok kondominium serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.