SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan Peperiksaan Semester II bagi Program Matrikulasi (PSPM) KPM Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei 2020 ini dibatalkan.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan KPM hari ini, keputusan itu dibuat sejajar dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.
"KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut amat penting kepada pelajar program matrikulasi sesi 2019/2020 yang mana ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.
"Justeru, KPM turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan semester II itu akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan yang telah dilaksanakan bagi semester tersebut,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, KPM berkata, keputusan akhir untuk pelajar matrikulasi sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan semester II.
Katanya, ia selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac 2020.
"Jadi dengan mengambil kira pembatalan peperiksaan semester II, KPM turut memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula pada 11 April 2020.
"Begitupun, semua pelajar yang masih berada di kampus diminta untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan.
"KPM akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.