TEBRAU - Seorang anggota tentera lelaki berasal dari Sarawak yang memeluk agama Islam di Rejimen 501 Askar Wataniah, Kem Tebrau, Johor Bahru menerima respon positif daripada netizen khususnya dalam kalangan Muslim.
Menerusi perkongsian di Facebook Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Johor Bahru, anggota tentera berkenaan, Faez Hafizuddin Peter Abdullah mengucap mengucap dua kalimah syahadah di surau An-Nur Kem Tebrau yang disempurnakan oleh Pegawai Waran 2 Ustaz Hamzi Husin dan disaksikan Mejar Mohd Hafes dan Leftenen (KM) Mohd Shamsul Gahar.
"Alhamdulillah pada 8.4.2020 seorang lagi sahabat kita telah kembali kepada fitrah, saudara Faez Hafizuddin Peter Abdullah, seorang anggota tentera dari Sarawak," tulisnya.
Majlis pengislaman yang diurus oleh Pegawai Perkim turut membantu serta membimbing anggota tentera berkenaan setelah bergelar saudara baharu.
Berita gembira itu menarik perhatian netizen yang mengucapkan syukur dan berharap anggota tentera itu terus istiqamah dalam mempelajari agama Islam.
Posting tersebut mencecah lebih 1,500 tanda suka dan 507 komen dari netizen.
Anie Hashim berkata,"Alhamdulillah, tambah lagi saudara baru."
Ujar Zainol Abdin Jaafar,"Tahniah, agar mereka lebih kuat pegangan Islam."
"Semoga ALLAH memberi hidayah dan dipermudahkan urusan," kata Mohd Salleh Ahmad.