SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Program Wakaf Quran Mu’jam untuk disalurkan ke hospital, pusat kesihatan dan pusat kuarantin di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berjaya mengumpul sebanyak 30,315 naskhah al-Quran selepas dilancarkan pada 3 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, sumbangan dibuka sehingga 14 April ini berikutan WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner.
"Sehingga jam 2 petang tadi (semalam) dalam tempoh 10 hari dilancarkan, wakaf al-Quran ke hospital dan pusat kesihatan adalah sebanyak 30,315 naskhah. Sumbangan ini akan terus dibuka sehingga 14 April 2020.
"Sasaran awal agihan hanya untuk sekitar 200 lokasi dari 2,774 lokasi termasuk 120 pusat kuarantin namun pihak WUIF terus menerima permohonan untuk mengaktifkan #QuranCorner & Troli Ibadah di lokasi masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Marhaini berkata, pihaknya mendapat banyak bantuan untuk agihan lebih menyeluruh melalui kerjasama mantap dengan Jakim, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak hospital serta wakil Rumah Ngaji negeri.
Menurutnya, #QuranCorner & Troli Ibadah telah mula diaktifkan di hospital dan berada di wad-wad, sementara sesi #QuranTime mengikut pendekatan Malaysia #QuranTime menerusi siaran TV AlHijrah juga telah mula diadakan di hospital.
"Semoga mukjizat al-Quran menyentuh dan menyapa hati kita semua untuk menambah keimanan kita.
"Semoga dengan pendekatan berinteraksi dengan al-Quran (baca, faham dan amal) akan membawa kita memahami apa mesej ALLAH kepada kita, menjadi terapi, merawat dan menyembuhkan kita.
"Semoga dengan ujian Covid-19 ini menjadi momentum besar untuk melahirkan negara, pemimpin dan rakyatnya yang jauh lebih baik dari sebelum ini.
"Bersama kita berpegang kepada tali ALLAH untuk membina ketahanan fizikal, mental dan jiwa kita. ALLAH Bersama, Biidznillah,” katanya.