PUTRAJAYA - Seramai 15 warganegara Malaysia yang bekerja di Iraq selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, kepulangan mereka melalui penerbangan komersial Iraqi Airways IA 455 dari Baghdad ke Kuala Lumpur dibiayai secara persendirian sekitar jam 9.35 pagi tadi.
Iklan
Iklan
"Kedutaan Besar Malaysia di Jordan telah memudahcarakan urusan kepulangan rakyat Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Iraq sehingga mereka selamat kembali ke tanah air," katanya dalam kenyitan hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar itu berkata, kesemua rakyat Malaysia terbabit akan menjalani proses saringan kesihatan di KLIA.
"Mereka perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia," katanya.
Menurutnya, Kementerian Luar melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seberang laut akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.
"Saya menasihatkan rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 di luar negara untuk terus tabah dan kekal bertenang dalam menghadapi situasi ini," katanya.