BALING - Sebanyak 80 peratus dari jumlah keseluruhan 400,000 penoreh getah seluruh negara tidak membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jumlah penoreh yang membuat tuntutan sangat rendah hanya sekitar kira-kira 20 peratus.
Menurutnya, kegagalan penoreh menuntut IPG menyebabkan pendapatan mereka tidak dapat distabilkan.
"Sebanyak 80 peratus penoreh tidak membuat tuntutan menyebabkan pendapatan mereka tidak dapat distabilkan dan mencapai matlamat kerajaan," katanya ketika meninjau Pusat Belian Getah Sekerap, Kampung Luar, Siong hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, melalui pelaksanaan IPG, sekiranya harga getah sekerap rendah daripada RM2.50 sekilogram (harga lantai), maka secara automatik penoreh akan menerima manfaat di mana kerajaan membayar baki harga lantai.
Katanya, harga semasa getah sekerap ketika ini jatuh kepada sekitar RM1.80 sekilogram.
"Kita sedang melihat cara memudahkan tuntutan dalam masa sama bagaimana untuk meningkatkan pendapatan menghasilkan getah berkualiti dari getah sekerap kepada getah keping.
"Getah yang dibuat orang kampung ini getah sekerap sedangkan harga paling tinggi ialah getah keping, sekali ganda harganya," katanya.
Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk membina pusat pemprosesan getah keping di daerah itu diharap mampu dilaksanakan bagi mencapai matlamat menghasilkan getah berkualiti tinggi negara.
Kedah mempunyai bilangan penoreh getah yang tinggi iaitu seramai 66,662 orang dengan Baling 15,137 orang, Sik (11,077) dan Padang Terap (14,565).
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin berkata, kesemua operasi perkilangan dan perladangan membabitkan komoditi getah serta kelapa sawit akan terus ditutup atau dihentikan sekiranya terdapat penularan koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, setakat ini, kilang dan ladang yang beroperasi telah mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sekarang Sabah pun dah mula operasi dan kita ingatkan sekiranya berlaku satu kes maka kita akan arahkan tutup, hatta kalau di kawasan zon merah pun memang tidak akan dibenarkan beroperasi," katanya.