Tampar anak enggan buat semakan duit bantuan

Iklan
Tertuduh dipenjara enam bulan selepas mengaku salah menampar dua anak lelaki dan memiliki senapang angin di Mahkamah Majistret hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa menampar dua anak selepas berang anak sulungnya tidak mahu membuat semakan sama ada wang bantuan sudah diterima atau belum.

Perbuatannya itu menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah dua pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 41 tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak sulungnya berusia 17 tahun pada jam 1 petang, 3 Mac lalu dan anak bongsunya berusia 4 tahun kira-kira jam 2 petang, 26 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Iklan
Tertuduh turut didakwa memiliki senjata tiruan iaitu selaras senapang angin sepanjang lebih 1 meter di dalam rumah tersebut pada jam 9 malam, 3 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Nordiana Abd Aziz kemduian menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bagi setiap tiga pertuduhan tersebut dan mengarahkan kesemua hukuman dijalankan secara serentak.

Iklan

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazlan Md Zein.