KUALA LUMPUR - Pasukan Respon Pantas di bawah kendalian Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyangkal tiga berita palsu yang tular di media sosial hari ini.
Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan dakwaan seorang pesakit positif Covid-19 melarikan diri daripada hospital dan menjelaskan pesakit tersebut menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI).
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan bahawa Seksyen 6, Shah Alam akan dikenakan perintah ‘lockdown’.
"Beliau menjelaskan bahawa Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kesihatan Selangor hanya melakukan saringan komuniti awal secara percuma dari rumah ke rumah melibatkan golongan berisiko seperti warga emas," kata kenyataan itu sebentar tadi.
Pihak Polis Daerah Raub, Pahang pula menafikan dakwaan bahawa polis berkunjung ke Pasa Raya Thong Fatt dan memaklumkan saman RM1,000 dikenakan kepada individu yang tidak memakai topeng muka.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, KKMM memaklumkan Talian Hotline kementerian itu beroperasi 24 jam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Aduan atau pertanyaan juga boleh disalurkan melalui e-mel kepada eaduan@kkmm.gov.my.
"Anda juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian 03-88882010. Ikuti channel Telegram Rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Rasmi di https://t.me/kkmmchannel," kata kenyataan itu.