TABUNG Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) melalui kolaboratif Briged Penjahit Covid-19 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menghasilkan 70 sut peralatan perlindungan diri (PPE) sehari.
Sukarelawan Tabung CovidSinar, Dr Aniza Abu Bakar yang juga pensyarah Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar UIAM berkata, Briged Penjahit Covid-19 UIAM telah menerima sebanyak 8,000 meter kain hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung CovidSinar.
Menurutnya, aktiviti yang bermula sejak 31 Mac lalu dengan penglibatan empat kakitangan UIAM telah berjaya menarik penyertaan lebih 40 peserta termasuklah pereka fesyen terkenal Salikin Sidek, pensyarah, kakitangan dan pelajar UIAM serta orang awam.
"Pada awal penglibatan kami dalam aktiviti ini, kami berjaya menyiapkan 50 PPE sehari, bagaimanapun dengan pertambahan peserta kami berjaya siapkan sehingga 70 PPE sehari.
"Saya melihat kolaboratif antara Tabung CovidSinar dan Briged Penjahit Covid-19 UIAM ini adalah satu usaha yang sangat baik dalam membantu menyediakan keperluan petugas kesihatan terutama sut PPE dan sut surgery gown.
"Bantuan daripada pelbagai pihak turut memainkan peranan dalam menjayakan usaha ini terutamanya penglibatan daripada pelajar-pelajar UIAM dalam menyediakan lebih banyak lagi sut PPE dan surgery gown untuk disalurkan kepada petugas kesihatan nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.*
Teruja
Sementara itu, pelajar Jurusan Sains Kemanusiaan (Sosiologi dan Antropologi), Nurizzah Zulkifli, 22, mengakui teruja kerana berpeluang menyumbangkan tenaga menyediakan kelengkapan yang perlukan petugas kesihatan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
Menceritakan penglibatannya bersama Briged Penjahit Covid-19 UIAM, Nurizzah yang berasal dari Temerloh, Pahang berkata, dia tidak kekok melakukan kerja menjahit memandangkan sebelum ini dia mempunyai asas menjahit kerana mengambil subjek Ekonomi Rumah Tangga ketika di sekolah menengah.
"Bagaimanapun tugas saya dalam team ini tidak hanya tertumpu pada jahitan kerana ada kalanya saya juga perlu melipat dan membungkus baju yang sudah siap dijahit selain memotong kain dan pelbagai lagi.
"Alhamdulillah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dapat kami manfaatkan selain membantu menyediakan keperluan buat frontliners yang sedang berjuang dalam mengekang penularan Covid-19,” katanya yang juga anggota Palapes Darat UIAM.*
Bagi pelajar Jurusan Seni Lukis dan Seni Reka, Kulliyyah Arkitek dari Peru, Rocio Ortiz, 30-an menyifatkan masa yang terluang sepanjang pelaksanaan PKP itu dapat dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah selain membantu petugas-petugas kesihatan di negara ini.
Rocio mengakui dirinya yang pakar dalam bidang jahitan dan rekaan fesyen mahu menyumbangkan tenaga apabila dimaklumkan Briged Penjahit Covid-19 UIAM mencari sukarelawan untuk menyiapkan sut peralatan perlindungan diri (PPE) buat petugas kesihatan.
"Tugas saya di sini adalah menjahit dan dalam masa sehari saya berjaya menyiapkan tujuh ke lapan pasang PPE.
"Hari ini (semalam) merupakan hari keempat saya bersama-sama team ini.
"Saya juga berpeluang untuk berbakti di sini kerana bukan sahaja Malaysia yang berdepan pandemik Covid-19, malah di seluruh dunia termasuk di negara kelahiran saya di Peru,” katanya.*
Pelajar jurusan Kejuruteraan Komunikasi, Muhammad Hanif Mohd Fadzli, 22, pula mengakui penglibatannya bersama Briged Penjahit Covid-19 UIAM sejak hari pertama itu sedikit sebanyak dapat mengasah kemahiran menjahit yang dimilikinya.
Katanya, walaupun kerja-kerja menjahit nampak rumit, namun dengan tunjuk ajar daripada pereka fesyen terkenal Salikin Sidek dan pensyarah, ia memudahkan lagi kerja-kerja yang diberikan.
"Tugas saya adalah memotong kain dan kami dibekalkan dengan pola pakaian untuk dipotong sebelum dijahit. Saya juga ditugaskan untuk meletakkan getah di pergelangan tangan dan juga kaki selepas PPE siap dijahit,” kata anak kelahiran Kedah itu.
Sehingga jam 9 malam tadi, Tabung CovidSinar berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM587,542.00.
Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana untuk petugas kesihatan, sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).