Koronavirus kini ada tiga keturunan

Iklan
Tiga jenis koranavirus yang tersebar di seluruh dunia.

KAJIAN Universiti Cambridge di United Kingdom mendedahkan virus Covid-19 yang awalnya dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu sudah bermutasi sehingga tiga keturunan yang kini tersebar ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melalui kajian salur genetik.

Melalui analisis itu, penyelidik melakukan penjujukan 160 genom virus dan mereka memetakan beberapa penyebaran asal koronavirus melalui mutasinya, yang menghasilkan keturunan virus berbeza.

Iklan
Iklan

Ketua penyelidik Universiti Cambridge yang merupakan pakar genetik, Dr Peter Forster mendedahkan:"Terdapat terlalu banyak mutasi pesat untuk meneliti keluarga Covid-19. Kami menggunakan algoritma rangkaian matematik untuk memvisualisasikan semua secara munasabah pada masa yang sama.”

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal National Academy of Sciences pada Jumaat lalu. Melalui penemuan itu, penyelidikan mendedahkan tiga varian berbeza Covid-19, yang terdiri daripada kelompok-kelompok keturunan yang berkait rapat iaitu varian A, B dan C.

Iklan

Pasukan penyelidik menggunakan sampel data genom daripada pesakit Covid-19 yang mula merebak antara 24 Disember 2019 dan 4 Mac 2020.

Forster dan rakan sekerja mendapati bahawa jenis Covid-19 paling dekat yang ditemui dalam kelawar ialah jenis A iaitu virus asal yang dipindahkan ke manusia di Wuhan.

Iklan

Bagaimanapun, varian A Covid-19 kini dapat juga dilihat berada di dua negara seperti AS dan Australia melalui rakyatnya yang sebelum ini menetap di Wuhan.

Data menunjukkan varian A adalah yang paling lazim di Australia dan AS, yang telah mencatatkan lebih daripada 400,000 kes Covid-19.

Varian B pula ialah virus dalam kalangan pesakit yang menjangkiti manusia di Wuhan dengan kebanyakannya dalam kalangan pesakit di Asia Timur.

Varian C pula ialah jenis yang terdapat di Eropah seperti pesakit awal di Perancis, Itali, Sweden dan England dan varian ini bukan berasal dari tanah besar China sebaliknya dari Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.

Yang penting melalui teknik rangkaian genetik, saintis dapat mengesan laluan jangkitan yang jelas iaitu mutasi dan keturunan virus bergabung dengan titik persamaan antara kes yang diketahui sejarah kontaknya.

Bahaya virus

Apa yang dirumuskan dalam penemuan itu ialah varian A, iaitu yang paling dekat dengan virus yang terdapat pada kelawar dan tenggiling, digambarkan sebagai punca wabak, manakala jenis B berasal daripada A, dipisahkan oleh dua mutasi, sementara C merupakan anak daripada varian B.

Forster turut berhujah bahawa ada penjelasan lain yang patut dipertimbangkan.

"Virus jenis B boleh menjadi imunologi atau menyesuaikan diri dalam alam sekitar melalui sebahagian besar penduduk di Asia Timur. Kami juga melihat kadar mutasi yang lebih perlahan di Asia Timur berbanding tempat lain dalam fasa awal ini,” katanya.

Para saintis percaya virus itu – secara rasminya dipanggil SARS-CoV-2 – sentiasa bermustasi untuk mengatasi rintangan sistem imun pada populasi yang berlainan.

Sementara itu, bagi pakar virologi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar, penjujukan genom virus Covid-19 perlu dilakukan oleh setiap negara yang berdepan dengan penularan virus pembunuh itu.

Dr Sa­zaly Abu Bakar

Menurut Dr Sazaly, penjujukan genom itu dapat membantu mengetahui sifat atau bahayanya tiga jenis varian seperti penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Cambridge.

"Kita kena lihat penjujukan genom itu supaya kita dapat mengenal pasti varian-varian ini sama ada terdapat perbezaan dari segi menyebabkan jangkitan yang lebih serius atau tidak. Setakat ini mereka hanya melaporkan evolusi virus ini. Saya pasti saintis-saintis sedang melihat balik kelompok-kelompok virus ini.

"Begitu juga kita mahu lihat jika, saya difahamkan, ada juga virus-virus yang mungkin telah kehilangan genetik sebagai contohnya. Mungkin apabila berlaku kehilangan genetik, virus itu akan menjadi lebih kurang keupayaan sehingga menyebabkan jangkitan yang lebih serius.

"Biasanya apabila virus itu sampai ke sesuatu tempat, ia akan berkembang. Jadi setiap virus bila sampai ke sesuatu tempat ia akan ada identiti tersendiri dan ia akan mengembangkan sifat-sifatnya. Sifat-sifat itu berlainan dengan tempat-tempat yang lain. Kalau di AS lain. Di Eropah lain. Itu adalah sifat lumrah virus-virus ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Malaysia juga, menurut Dr Sazaly, perlu melakukan penjujukan genom kerana negara merekodkan kluster-kluster yang besar tetapi tidak diketahui punca kehadirannya.

Cuma, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia setakat ini hanya melakukan enam penjujukan awal daripada kluster import dari China.

"Varian manakah di Malaysia? Setakat ini yang kita tahu di Malaysia kita sudah buat enam sahaja penjujukan genum penuh. Kita ada kluster Masjid Sri Petaling dan tidak tahu puncanya daripada mana. Sama ada kita ada satu punca, dua punca atau berbagai punca.

"Begitu juga dengan kluster UDA. Adakah bersangkut paut dengan varian B di China atau varian A yang pergi ke AS atau varian C yang pergi ke Itali. Yang itu kita tidak tahu selagi kita tidak membuat penjujukan.

"Kita kena buat penjujukan sekarang. Kita tidak mahu membuat penjujukan apabila wabak telah habis kerana kita perlu tahu. Kadar kematian di Eropah telah tinggi,” katanya.

Dr Sazaly berkata, Malaysia seharusnya bertindak lebih awal dalam melakukan proses penjujukan genom virus Covid-19 secara penuh kerana negara mempunyai kepakaran dan kemudahan untuk melakukan kajian seperti yang dilakukan oleh negara luar.