ATM nafi keluarkan produk kemeja T, topeng muka Operasi Penawar

Iklan
Antara produk yang dikesan dijual di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menafikan mengeluarkan produk kemeja T dan topeng muka Operasi Penawar yang mempunyai logo ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dijual melalui online dan media sosial.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan mana-mana pihak tidak boleh mengeluarkan, menjual, membeli dan menggunakan sebarang produk yang mengguna pakai nama Operasi Penawar serta logo dua pasukan keselamatan itu.

Iklan
Iklan

"Produk tersebut boleh disalah guna oleh individu tertentu untuk mengelirukan orang awam pada masa sama mencemar nama baik dan peranan kedua-dua agensi keselamatan yang tidak berteraskan sebarang keuntungan perniagaan,” katanya melalui kenyataan media.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihaknya mengesan gerakan individu tertentu yang menawarkan penjualan barangan tersebut di media sosial.

Iklan

Menurutnya, hanya anggota PDRM dan ATM sahaja dibenarkan menggunakan topeng muka yang mempunyai logo tersebut.

Huzir berkata, polis tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mempromosikan barangan berlogo PDRM dan ATM.

Iklan