Pemandu lori didakwa tipu jual topeng muka

Iklan
Gambar hiasan

PETALING JAYA- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini atas tuduhan melakukan penipuan berhubung penjualan topeng muka di Facebook.

Tertuduh, Yeoh Joo Leong, 24, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Arifin Hisham.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, Joo Leong pada 6 dan 7 Februari lalu bertempat di Jalan Layang-Layang 2, Puchong Jaya Industrial Park, Puchong telah didapati dengan curang menerima wang berjumlah RM18,870 kepunyaan Wong Foo Ei, 25, ke dalam akaun Maybank miliknya yang mana mengetahui wang itu bukan miliknya.

Iklan

Tertuduh diwakili peguambela, Datuk Suraj Singh manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.

Suraj yang mewakili anak guamnya merayu mengurangkan wang jaminan atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,800.

Iklan

Tertuduh juga memberi kerjasama semasa direman polis untuk siasatan dan tidak mempunyai sebarang kes sebelum ini manakala bapanya bekerja sendiri.

Nor Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.