Banyak negeri setuju naik tarif air?

Iklan
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar (kanan) menunjukkan produk 'BioPellens' yang merupakan sisa kumbahan terawat iaitu biopepejal untuk menghasilkan bahan tanaman berkualiti serta perladangan hutan pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd di FRIM hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kenaikan tarif air dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini berikutan kebanyakan kerajaan negeri menyatakan persetujuan dengan cadangan itu, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun katanya kadar kenaikan masih dalam perbincangan memandangkan setiap negeri mempunyai kadar tarif berbeza dan ada juga yang tidak pernah menyemak semula selama berpuluh tahun.

Iklan
Iklan

"Saya nampak banyak kerajaan negeri setuju. Ada satu atau dua negeri sahaja tidak bersetuju lagi tetapi kita akan berbincang dengan mereka.

"Bagaimanapun saya boleh memberi jaminan ia tidak akan membebankan rakyat, dan ia akan bagi manfaat untuk rakyat dengan adanya air yang bersih untuk diminum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan Indah Water Konsortium (IWK), di sini hari ini.

Iklan

Ditanya sama ada kadar kenaikan akan ditetapkan pada 20 peratus seperti yang dipertimbang oleh Pulau Pinang, beliau berkata:"Tengoklah bagaimana... masih ada masa untuk kita bincangkan mengenai kadar tarif... kalau 20 peratus itu dirasakan sangat tinggi kita boleh turunkan sedikit.”

Katanya kerajaan berharap perundingan di antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan kerajaan-kerajaan negeri berhubung perkara itu dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Iklan

Dalam pada itu, Xavier berkata penggabungan bil air dan bil rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Labuan mencatatkan kejayaan apabila kutipannya meningkat daripada 40 peratus kepada 93 peratus sejak langkah tersebut diperkenalkan pada 2016.

Justeru katanya beliau percaya jika langkah itu diperluas ke seluruh negara, IWK dapat menampung kos operasinya, sekali gus kerajaan dapat mengurangkan subsidi yang berjumlah RM150 juta setiap tahun.

"Pada tahap ini kami tidak boleh terus menyokong mereka dan kita mesti cari jalan untuk menyelesaikan isu IWK... kita lihat dengan pengebilan bersama ini tiada masalah untuk penduduk membuat pembayaran sekali gus,” katanya.

Terdahulu, IWK yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Faizal Othman dan Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mahmod menandatangani MoU untuk penggunaan sisa kumbahan terawat iaitu biopepejal sebagai baja bagi tanaman yang tidak boleh dimakan.

"Ia boleh digunakan untuk program penghutanan semula, di ladang getah dan juga pokok-pokok yang ditanam oleh majlis perbandaran... kita harap ia dapat dikomersilkan suatu hari nanti,” katanya. - Bernama