Aplikasi bnmsafe (8002) alat perdaya mangsa

Iklan
Mohd Zakaria

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mengesan taktik terbaharu sindiket penipuan dalam talian yang memperdayakan mangsa untuk memuat turun satu aplikasi bnmsafe (8002) melalui telefon bimbit.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, polis menerima enam laporan daripada mangsa berusia 24 hingga 59 tahun sejak 7 April hingga 11 April lalu membabitkan kerugian sebanyak RM295,350.

Iklan
Iklan

"Sindiket berkenaan akan menghubungi mangsa secara rawak sebelum menghantar satu pautan ke telefon bimbit mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa kemudian diarah memuat turun aplikasi platform TestFlight yang mengandungi satu aplikasi lain iaitu bnmsafe (8002)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini hari ini.

Iklan

Mohd Zakaria berkata, mangsa kemudian diminta memasukkan maklumat peribadi dan perbankan melalui aplikasi itu.

"Selepas sindiket mendapat maklumat berkenaan, mereka akan mengakses akaun perbankan mangsa dan membuat pindahan ke akaun pihak ketiga.

Iklan

"Bagi melengkapkan transaksi itu, sindiket akan meminta kod pengesahan transaksi daripada mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari kehilangan wang mereka apabila membuat semakan akaun.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai penguat kuasa atau institusi kewangan," katanya.