TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 memperketatkan kawalan di laluan tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand melalui rondaan unit bermotosikal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepasukan anggota terdiri daripada 40 individu membuat rondaan ke laluan-laluan sempit dengan menggunakan motosikal lasak jenis Honda XR250 Scrambler.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pasukannya mengenal pasti ratusan lorong tikus yang sering menjadi sasaran dan digunakan penyeludup sebagai laluan untuk membawa barangan larangan mahupun kegiatan penyeludupan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Tumpuan utama penugasan di sempadan ketika ini adalah menyekat kemasukan PATI bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) selain mengekang penyeludupan dadah, senjata api serta barangan larangan lain.
"Rondaan sempadan darat menggunakan motosikal ini dilihat berkesan apabila dapat masuk lebih jauh di lorong-lorong sempit laluan tikus ini sekali gus memberi peringatan kepada penduduk supaya duduk di rumah sepanjang PKP dan menghalang berlakunya penyeludupan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu PGA7 bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan media Kelantan melakukan tinjauan sejauh 21 kilometer di Sungai Golok dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga Jeram Perdah, Rantau Panjang menggunakan bot PS4 dan RH3 serta mendapati kawasan sempadan di Sungai Golok tenang tanpa sebarang aktiviti penyeludupan.
Hadir sama Inspektor Operasi/Risik Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin.
Beliau berkata, selainnya penugasan rondaan jalan kaki, berkereta, sekatan jalan raya (SJR), sekat pintas, rondaan bot dan risikan juga diperketatkan PGA7 selama tempoh 24 jam di kawasan tanggungjawab iaitu sejauh 25 kilometer dari Kuala Jambu, Tumpat sehingga ke Jeram Perdah, Rantau Panjang.
"Pasukan PGA7 turut berdepan kesukaran menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi yang terdapat rumah-rumah dibina menggunakan atap zink kerana terletak terlalu dekat dengan Sungai Golok.
"Apa-apa pun kerumitan yang dihadapi, anggota dan pegawai PGA7 tetap bertungkus-lumus menjalankan tugas serta amanah kepada negara biarpun dalam keadaan sukar ketika dilanda wabak Covid-19 ini,” katanya.
Tambahnya, PGA7 menjalankan tugas dengan kuasa diperuntukkan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dalam memastikan lanjutan PKP dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.
"Saya merayu kepada rakyat supaya terus patuhi arahan kerajaan agar duduk di rumah untuk memastikan matlamat memutuskan rantaian penyakit ini dapat dicapai.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar arahan PKP,” katanya.