Pengasas Nasi Lan Kedah meninggal dunia

Iklan
Allahyarham Mohd Azlan di hadapan kedai Nasi Lan Kedah di Bangunan Peruda di sini.

ALOR SETAR - Pengasas restoran nasi kandar Melayu, Nasi Lan Kedah, Mohd Azlan Jamal, 60, meninggal dunia kira-kira jam 10.25 malam tadi akibat penyakit jantung.

Anaknya, Mohd Firdaus, 29, berkata, ayahnya sempat meraikan sambutan hari lahir salah seorang cucunya sebelum masuk ke bilik di kediaman mereka di Taman Utama di sini untuk menunaikan solat Isyak.

Iklan
Iklan

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, arwah ayahnya kemudian mengadu sakit dada dan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta.

"Bagaimanapun, arwah ayah menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke sana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Husain Seberang Pumpong, dekat sini, pagi ini.

Iklan

"Walaupun terkejut dengan kejadian berlaku tiba-tiba, namun kami redha dengan pemergian arwah ayah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurutnya, arwah ayahnya itu disifatkan 'pergi' dengan mudah dan sempat mengucapkan dua kali kalimat syahadah di pangkuan ibunya, Zarina Ariffin, 61, dan adik yang turut berada dalam kenderaan itu.

Iklan

Jelasnya, Allahyarham Mohd Azlan juga tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pemergiannya itu sambil memberitahu ayahnya hanya menghidap penyakit kencing manis dan tidak pernah menunjukkan simptom penyakit lain seperti jantung.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, arwah ayah masih berniaga dengan menjual makanan untuk bawa pulang sahaja dan perkhidmatan hantar makanan," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga berjanji akan terus mempertahankan legasi Nasi Kandar Lan Kedah diasaskan arwah sejak 1982 yang kini memiliki beberapa cawangan termasuk di Alor Setar, Shah Alam, Putrajaya, Bangi dan Cheras.

Mohd Firdaus berbincang dengan adik-beradiknya selepas selesai urusan pengebumian ayah mereka yang juga pengasas restoran Nasi Lan Kedah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, ayahnya memulakan perniagaan dengan hanya menjual nasi dalam van sewa sebelum perniagaan itu berkembang dengan memiliki tapak untuk beroperasi dan kini memiliki perancangan untuk membuka kilang bagi mengembangkan perniagaan secara francais.

"Sepanjang hidupnya, arwah ayah membesarkan dan mendidik kami adik-beradik supaya mengerti hidup susah walaupun sudah berjaya. Kami akan sentiasa mengingati pesanan arwah," katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata, mereka sekeluarga turut patuh arahan dikeluarkan kerajaan berhubung proses sebelum pengebumian jenazah termasuklah membuat penjarakan sosial dan menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan.

"Untuk proses mandi, solat jenazah sehinggalah pengebumian arwah ayah, kita buat penjarakan sosial dan hanya beberapa orang dibenarkan di tanah perkuburan.

"Kami berterima kasih kepada semua membantu urusan itu," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan arwah ayahnya sebaik menerima informasi berkaitan pemergiannya tersebut.