LIPIS - Pasangan suami isteri dari Kampung Tanjung Jambu di sini trauma berdepan detik cemas selepas hampir sebahagian rumah mereka rosak teruk akibat dilanda ribut awal pagi tadi.
Yatim Busu, 68, berkata, walaupun dia dan isterinya, Zawiyah Zainon, 56, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ia merupakan kejadian pertama dia berdepan insiden terbabit sepanjang mendiami rumah itu sejak 1985.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Yatim memberitahu, bunyi petir yang kuat menyebabkannya terjaga daripada tidur.
"Saya hanya sedar selepas lihat bumbung dari dapur hingga ruang tamu hilang diterbangkan angin.
"Ada juga atap yang tersangkut di atas pokok berhampiran," katanya ditemui selepas menerima lawatan dan sumbangan peribadi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long hari ini.
Katanya, dia dan isteri akan terus berada di rumah tersebut dan berharap kerosakan rumahnya dapat dibaiki dengan kadar segera, apatah lagi ketika ini tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sedang berlangsung.
Dia merupakan antara tiga penduduk yang terjejas dalam kejadian di kampung tersebut selain satu lagi kejadian sama di Kuala Telang di sini.
Sementara itu, Mustapa memberitahu, Pegawai Daerah selaku Pengerusi Bencana Daerah akan mengambil langkah untuk membaiki berdasarkan peruntukan sedia ada.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menilai kerosakan dan membuat cadangan kepada kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.
"Jadi saya berharap semua mangsa terlibat dapat bersabar sementara segala bantuan yang diperlukan diberikan," ujarnya.