BAYAN BARU - Semua majikan diminta menasihatkan pekerja warga asing mereka supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan.
Sehingga kini seramai 31 daripada 79 individu yang ditahan di daerah Barat Daya merupakan warga asing dan mereka memberi alasan tidak munasabah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, kebanyakan yang ditahan mengetahui pelaksanaan PKP namun tidak memahami kepentingan perintah tersebut.
Menurutnya, selain tangkapan warga asing, pihaknya turut menahan warga tempatan yang didapati sengaja melanggar PKP selain berkumpul di tempat awam.
"Selain warga asing, saya juga memohon kepada orang ramai agar tidak berkumpul di kawasan awam kerana PKP belum tamat. Beri lah kerjasama kepada polis dan semua pihak berkuasa agar penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya di Sungai Nibong tadi.
Terdahulu, Anbalagan melakukan pemantauan di kawasan tersebut selepas laluan atas Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Georgetown menghala Bayan Lepas iaitu berdekatan Tapak Pesta Sungai Nibong ditutup bermula jam 7 pagi tadi.
Mengulas mengenai perkara itu, Anbalagan berkata, langkah itu diambil sebagai usaha meningkatkan penguatkuasaan PKP membabitkan semua jenis kenderaan dari arah pusat bandar akan dialih ke laluan bawah iaitu Jalan Sultan Azlan Shah menuju ke Bayan Lepas.
"Hanya satu hala sahaja ditutup manakala laluan atas dari Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas menghala Georgetown (pusat bandar) masih dibuka seperti biasa. Susulan itu, jumlah kenderaan akan bertambah.
"Tambahan pula, terdapat lebih 180 kilang dibenarkan beroperasi. Oleh itu, pekerja kilang yang terlibat akan melalui jalan ini untuk ke tempat kerja mereka. Setakat ini lapan sekatan jalan raya dilakukan selama 24 jam sehari di daerah Barat Daya," katanya.