SIBU - Masyarakat di Sibu yang perlu melakukan urusan bank diminta supaya memilih masa sesuai atau beredar jika terdapat ramai pengunjung di tempat berkenaan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting melahirkan kebimbangan ketika membuat tinjauan di beberapa bank di Jalan Kampung Datu serta Jalan Tuanku Osman kerana mendapati keadaan sesak susulan orang ramai datang untuk memeriksa sama ada pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sudah dimasukkan ke dalam akaun mereka atau tidak.
"Kawasan pejalan kaki bangunan bank sesak dengan sekurang-kurangnya 50 orang dengan sedikit atau tiada langsung penjarakan sosial," katanya dalam laman Facebooknya.
Menurut Clarence, mereka yang beratur tanpa menghiraukan penjarakan sosial 1 meter dipercayai ialah penerima BPN sebanyak RM1,000 bagi kategori M40 yang menerima bayaran bermula hari ini hingga 15 April.
Jika trend itu berlarutan, beliau bimbang penyebaran wabak Covid-19 terus berlaku kerana kemungkinan terdapat mereka yang positif, tetapi tidak menunjukkan gejala bergerak bebas dan terdapat juga yang masih belum membuat pemeriksaan.
Sementara itu, hantaran dalam laman Facebooknya mendapat pelbagai reaksi berhubung sikap segelintir masyarakat yang masih tidak peka dengan amalan jarakan sosial dalam situasi kini.
"Jangan terkejut jika adanya PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa keempat nanti," komen Steven Lee terhadap hantaran Ting itu.
Ahmed Saiful Son pula menyokong komen Lee dan berkata, beliau tidak terkejut jika ada PKP fasa keenam atau ketujuh.
"Walaupun jika Malaysia bebas daripada Covid-19, saya rasa masih tidak selamat untuk semua orang keluar rumah. Negara jiran kita sekarang sedang menuju ke tahap yang lebih buruk," katanya. - Bernama