TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 mengesan cubaan penyeludup mengedar dadah secara kecil-kecilan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, percubaan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun, minggu lalu.
"Serbuan oleh sepasukan anggota di sebuan rumah yang terletak di Pangkalan Haram Rashid, Pengkalan Kubor menemui 82 biji pil kuda dan 17.5 kilogram daun ketum bernilai RM2,733.
"Hasil siasatan mempercayai suspek cuba menjual dadah secara kecil-kecilan yang sedia ada didapatinya sebelum PKP di lokasi kampung-kampung sekitar Tumpat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan kekangan pergerakan susulan terdapat banyak sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak berkuasa selain pemantauan ketat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19).
"Dalam satu lagi kes berasingan, kami juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di Sekat Pintas di Kubang Pak Itam dan menemui dua pil dipercayai syabu.
"Lelaki ini turut ditahan kerana ingkar PKP mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, PGA Batalion 7 turut menumpaskan penyeludupan 12 tong (300 liter) petrol bernilai RM315 dan merampas bot digunakan suspek di pangkalan haram Nik Mat Rantau Panjang.
"Sempadan negara di Sungai Golok berada dalam keadaan tenang ketika ini berikutan kawalan ketat dalam setiap penugasan yang dilakukan susulan PKP dan pengawasan akan berterusan seiring dengan lanjutan tempoh perintah berkenaan.
"Saya mohon kerjasama seluruh rakyat supaya membantu kami sebagai anggota barisan hadapan dengan terus duduk di rumah agar matlamat utama kerajaan yang berhasrat memutuskan rantaian Covid-19 ini tercapai,” katanya.