KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjawat jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah lebih teruk daripada kerajaan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, pandangan itu susulan tiada sebarang dasar kerajaan BN menggariskan supaya setiap ahli Parlimen menyokong kerajaan dijamin menerima peranan utama GLC atau badan berkanun, tidak seperti PN.
Menurutnya, tindakan menggantikan golongan profesional sebagai pengerusi dan pengurus GLC serta badan berkanun dengan lantikan politik, sekali gus membuktikan kerajaan PN bukan dipilih rakyat, sebaliknya dilihat seolah-olah mahu 'membeli sokongan'.
"Kami mendesak agar Muhyiddin tidak mendahulukan kepentingan politik beliau melebihi kepentingan negara dan rakyat, sebaliknya melantik semula golongan profesional dihormati industri menggalas jawatan GLC dan badan berkanun sebagaimana amalan PH sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis Setiausaha PH berkata, keputusan terkini kerajaan PN juga menyebabkan segala inisiatif reformasi ke arah tatakelola baik (good governance) dilaksanakan PH sebelum ini dimusnahkan.
Menurutnya, ketika rakyat sedang gelisah dengan ketidaktentuan ekonomi, kerajaan PN melantik ahli Parlimen mereka menerajui GLC dan agensi kerajaan dengan elaun dan gaji menelan beribu-ribu ringgit.
"Pertama, menjadi seorang ahli Parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan profesional untuk menerajui GLC dan agensi kerajaan.
"Kedua, ini merupakan langkah yang jelas untuk ‘membeli’ sokongan buat kerajaan Muhyuddin yang mempunyai majoriti nipis.
"Tindakan ini dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan diri sekiranya undi tidak percaya diadakan di Parlimen kelak, namun sebenarnya ia berpotensi mendatangkan kesan negatif kepada prestasi GLC yang merupakan antara penyumbang utama hasil negara," katanya.