KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing Grab melahirkan rasa kecewa apabila melihat jumlah kenderaan di jalan raya masih banyak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Wan Norazam Wan Mokhtar, 51, berkata, keadaan jumlah kenderaan amat luar biasa dari fasa pertama PKP bermula termasuk PKP fasa kedua dan kini memasuki fasa ketiga.
"Saya rasa terkejut dan kecewa kerana kita berada fasa ketiga PKP, namun sikap orang kita bertambah buruk. Sepatutnya kita patut lebih perketatkan pergerakan kita.
"Hari ini sepanjang saya bekerja, kenderaan banyak di jalan Bandar Baru Nilai, Semenyih, Kajang dan Cheras.
"Bila awal pagi, keadaan baik sekitar jam 8 pagi hingga 9 pagi, namun selepas waktu itu, jumlah kenderaan bertambah banyak. Ibarat macam tidak ada PKP," katanya kepada Sinar Harian.
Wan Norazam yang bekerja sepenuh masa sebagai pemandu e-hailing turut mendedahkan lokasi pasar raya juga masih menjadi tumpuan orang ramai.
"Selalunya sebelah pagi memang ramai kerana orang membeli barang keperluan harian tetapi sekarang ini, saya lihat sampai lewat petang pun masih ramai lagi orang keluar masuk ke pasar raya," katanya.
Bercerita lanjut, dia pernah menunggu selama dua jam bagi melepasi pemeriksaan sekatan jalan raya gara-gara jumlah kenderaan bertambah di atas jalan.
"Selalunya paling cepat 10 minit, ada juga setengah kawasan mungkin lebih sebab bilangan kereta banyak. Antara 10 minit ke 30 minit kebiasaannya, namun yang paling teruk, saya perlu menunggu selama dua jam di 'roadblock' depan sebuah pasar raya di sini," katanya.
Apa yang dapat diperhatikan, masih ada kenderaan membawa lebih dari satu penumpang termasuk kanak-kanak.
"Semua keluar bukan satu orang satu kereta lagi dah. Ada saya tengok suami isteri ada juga satu keluarga.
"Semasa berhenti di lampu isyarat, saya perasan ada pemandu wanita membawa bayi. Saya bimbang keadaan wabak akan menjadi lebih teruk jika kita ingkar PKP," katanya.
Dalam pada itu, Wan Norazam berharap agar wabak Covid-19 cepat ditangani agar dapat menjalani kehidupan seperti sebelumnya.
"Mungkin kita tidak dapat 100 peratus bebas dari Covid-19 tapi kita patut lebih berdisplin untuk menanganinya," katanya.