TEMERLOH - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu memberi kesan terhadap jualan ikan sangkar khususnya patin di daerah ini.
Pengusaha ikan sangkar, Muhammad Ashraf Zulkifly, 35, dari Kampung Buntut Pulau di sini mengaku hasil jualan ikan sangkarnya terjejas sehingga 70 peratus.
Menurutnya, ini kerana sebahagian besar pengusaha restoran dan kedai makan yang merupakan pelanggannya tidak dapat menjalankan operasi premis mereka ketika tempoh ini.
"Memang terjejas namun saya akur dengan perintah PKP ini dan buat masa ini jualan bergantung kepada penghantaran secara tunai (COD) kepada pelanggan selain ada yang datang sendiri ke sangkar.
"Buat masa ini nak kata ada lambakan ikan belum sampai ke tahap itu walaupun jualan menurun," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Bagi pemilik kiosk Laziz Patin Temerloh, Saharuddin Ahmad, 35, berkata, sepanjang PKP, dia hanya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk produk pes ikan sedia dimasak untuk pelanggan.
Katanya, dia tidak menjual ikan patin segar sepanjang tempoh PKP dan mengakui permintaan tetap tinggi daripada pelanggan untuk mendapatkan pek terbabit.
"Sebelum PKP, memang saya ada menjual dan menyediakan ikan patin segar di kiosk ini dan buat masa ini fokus kepada pek pes sedia dimasak," jelasnya.
Saharuddin telah mengusahakan kiosk yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh Arah Kuala Lumpur di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sejak tiga tahun lalu.