SARENA MOHAMAD, 30-an, merasakan kondisi badannya seperti ada masalah. Perasaan gundah-gulana sering mencengkam dirinya setiap kali dia berbaring. Tatkala memegang bahagian bawah perutnya, dia berasa sangat sakit kerana terasa seperti ada ketulan keras 'menghuni' di situ.
Naluri kewanitaan Sarena berbisik sesuatu yang negatif apabila dia tidak datang bulan seperti kebiasaan. Kalau haid itu hadir, darah akan mengalir pada kadar yang luar biasa dan semestinya berlebihan.
Lebih menakutkan wanita itu, perutnya pula kelihatan seperti orang mengandung empat, lima bulan.
"Apa yang terjadi kepada saya sebenarnya? Saya kurang mengerti. Bayangkan, apabila saya datang haid, saya sampai tak boleh bangun dan hanya makan panadol untuk mengurangkan kesakitan.
"Walaupun ketika itu rasa sakitnya hanya Tuhan yang tahu, saya masih berpegang kepada prinsip untuk tidak membuat pemeriksaan. Bukan apa, saya takut mendengar sebarang kemungkinan yang akan dimaklumkan doktor.
"Bagaimanapun, selepas suami dan rakan-rakan berkali-kali memberi teguran, barulah saya terbuka hati untuk pergi klinik," katanya kepada Sihat:Aktif ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Sarena, seperti sudah diduga, memang ada yang tidak kena.
"Ya, akhirnya sah disahkan menghidap cyst pada ovari (ovarian cyst)," imbasnya ketika mula-mula dikhabarkan tentang penyakit ketakutan wanita lebih setahun lalu.
Sarena memberitahu, dia sudah menjalani pembedahan membuang cyst beberapa bulan lalu.
Namun, adakah cyst yang dialaminya akan sembuh secara total? Jawapannya, tidak kerana wanita itu perlu membuat pemeriksaan susulan bagi memastikan penyakit tersebut tidak berulang.
Apa itu cyst?
Mengulas secara terperinci tentang cyst, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, cyst merupakan ketumbuhan pada ovari lazimnya mengandungi cecair.
Ujar Dr Fauziah, ia berlaku ketika proses ovulasi dan pada saat telur (ovum) dikeluarkan pada setiap bulan.
"Kebanyakan wanita yang mempunyai cyst yang tidak mempunyai apa-apa masalah termasuk membawa mudarat dikategorikan functional cyst yang berlaku di atas sebab fisiologi dan bukan kanser.
"Namun, terdapat juga jenis cyst lain yang boleh membawa masalah kepada wanita seperti endometriosis, dermoid, corpus luteal dan cystadenomas," terangnya.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, golongan wanita yang memiliki berat badan berlebihan atau obes berkecenderungan menghidap polycystic ovarian syndrome (PCO's) terdapat banyak cyst kecil pada ovarinya.
Cyst kecil ini tidak dapat mengeluarkan telur dari kilang ovari oleh wanita PCO's lazimnya sukar untuk hamil. Sebahagian kecil daripada cyst adalah barah ovari.
Golongan berisiko
Sekiranya dianalisis, ovarian cyst lazim melanda wanita yang berada dalam era reproduktif yang mana ketika ini ovarinya berfungsi dengan baik.
Manakala, lapan peratus wanita pada era sebelum menopaus (premenopausal) mengalami masalah cyst yang besar hingga memerlukan pembedahan.
Jelas Fauziah, sebenarnya wanita menopaus sepatutnya tidak mempunyai masalah cyst disebabkan ovarinya sudah berhenti berfungsi.
Oleh yang demikian, jika tidak bernasib baik, mereka memperoleh cyst, besar kemungkinan menghidap kanser itu tinggi!
"Jika cyst tidak mempunyai ciri-ciri barah dalam ultrasound, saiznya kurang dari lima sentimeter.
"Kalau ada simptom seperti kesakitan, lazimnya dibedah. Kaedah pembedahan pula dua kategori iaitu membedah buka perut wanita dan mengeluarkan cyst (laparotomy).
"Kedua, secara laparoscopy iaitu menggunakan kaedah keyhole surgery (menggunakan kamera dan peralatan khusus untuk keluarkan sista melalui lubang-lubang kecil ditebuk pada perut)," katanya lagi.
Jenis-jenis cyst
Seperti yang dimaklumkan pada awal artikel, cyst mempunyai beberapa jenis.
Bagi functional cyst, hal ini disebabkan oleh hormon dan ubat-ubatan yang menyebabkan proses ovulasi.
Jenis endometriosis pula terjadi apabila keadaan tisu pada dinding rahim (endometrium) berada di tempat selain dalam rahim seperti pada ovari atau usus.
"Apabila berlaku pendarahan haid dari dinding rahim, pendarahan juga terjadi pada tisu yang berada di luar rahim ini yang boleh mengakibatkan pembentukan cyst pada ovari (berwarna coklat).
"Pendarahan dalaman yang berlaku boleh menyebabkan tisu dan organ-organ melekat antara satu sama lain. Contoh pelekatan tiub fallopia pada rahim, usus dan lain-lain.
"Pelekatan antara tisu-tisu itu boleh menyebabkan tiub tersumbat dan kesukaran untuk hamil," jelasnya.
Fauziah menambah, endometriosis mempunyai kaitan dengan unsur genetik dan keturunan.
Jika ibu atau sesiapa dalam keluarga mengalaminya, kemungkinan besar keturunan yang lain boleh dihidapi penyakit ini.
Dalam pada itu, cyst jenis dermoid terkandung tisu yang berasal dari era janin lagi.
Fauziah berkata, cyst jenis itu mengandungi rambut, gigi, tulang dan lain lain.
"Ia (cyst) boleh berlaku apabila ada jangkitan pada ovari dan tiub fallopia. Jangkitan kronik boleh menyebabkan kesakitan pada pelvis yang berpanjangan. Adakalanya terdapat nanah berkumpul dalam ovari dan tiub. Jangkitan penyakit kelamin adalah antara salah satu sebab pengumpulan nanah di pelvis.
"Hal ini juga mendorong tiub fallopia tersumbat dan susah hamil. Jika hamil, ada risiko kandungan berada di luar rahim," katanya.
Bahaya soya
Dalam mencegah cyst dalam apa juga kategori, adakah terdapat makanan-makan yang perlu dicegah? Menjawab persoalan itu, Fauziah berkata, penyakit ini berkait rapat dengan hormon estrogen.
Oleh yang demikian katanya, pesakit dinasihatkan untuk mengelak dari makan soya dan semua jenis produk berkaitan dengan bijirin itu.
Mengapa soya? Fauziah menjelaskan, soya mengandungi isoflavones yang mempunyai kandungan estrogen yang tidak elok untuk tubuh badan terutama pada saluran peranakan.
Jika anda mempunyai ovarian cyst yang berulang, doktor akan mengambil pendekatan memberi pil kontraseptif bertujuan menghentikan ovulasi dan mencegah perkembangan cyst bahsru.
Kontraseptif oral juga boleh mengurangkan risiko kanser ovari terhadap wanita yang menopause.
Penyakit cyst ini juga pernah dibincangkan oleh pakar sakit puan terkenal negara, Datuk Dr Hamid Arshat.
Menerusi perkongsian melalui laman Facebooknya, Hamid berkongsi tentang langkah mengawal estrogen.
Antaranya ialah menyarankan wanita agar mengekalkan berat badan ke tahap yang sesuai mengikut kiraan BMI.
Katanya, kegemukan katanya, boleh menggalakkan penghasilan estrogen yang berlebihan.
Kedua ialah melakukan senaman kerana mempunyai pelbagai faedah antaranya dapat mengimbangkan hormon estrogen dan progesteron.
Tekanan? Ya, tekanan memberi impak, kata Hamid.
"Selain boleh meningkatkan hormone cortisol/steroid, tekanan juga mempunyai pelbagai pengaruh yang boleh mengancam kesihatan wanita dan pada masa meningkatkan tahap estrogen," ujarnya.Penyakit Cyst
Cyst ialah ialah kantung tidak normal yang terbentuk di mana-mana organ dalam badan manusia. Ia boleh mengandungi udara, cecair atau selaput.
Terdapat beberapa jenis cyst iaitu functional cyst, endometriosis, corpus luteal dan dermoid.
Simptom / gejala:
Mengalami kesakitan pada bahagian pelvis, ketika melakukan hubungan kelamin dan sakit ketika haid.
Mengalami masalah membuang air kecil atau besar.
Perut membesar dan terasa ada ketumbuhan di perut.
Rasa kenyang atau perut penuh.
Rasa mahu terkencing sepanjang masa.
Sakit di belakang atau paha
Payudara menjadi lembut.
Pening dan muntah.