PASIR MAS -"Kami rindukan saat mama marah jika kami membuat bising," itu luahan Mohamad Shakir Aidi Suhaimi, 14, anak sulung daripada tujuh beradik yang kehilangan ibu mereka sejak sebulan lalu.
Mohamad Shakir Aidi berkata, ibunya, Norazira Diana Nasir, 34, menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada paru-paru tiga hari selepas melahirkan adik bongsu, Nur Suri Afiena Dalin, yang kini berusia 40 hari.
Menurutnya, mereka hanya mampu melepaskan rindu dengan menatap gambar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan untuk menziarah kubur di Pasir Puteh.
Sementara itu, bapa mereka, Suhaimi Che Cob, 47, berkata, dia nekad membesarkan tujuh anaknya termasuk yang berusia 40 hari selepas kematian isteri.
Dia yang hanya bekerja sendiri dengan menjual minyak wangi mengakui menghadapi masalah kewangan sejak kerajaan melaksanakan PKP bermula pada 18 Mac lalu.
"Sejak itu, saya tidak lagi dapat keluar bekerja untuk menyara keluarga terutama untuk membeli susu Mohammad Sharir Aniq yang berusia 2 tahun dan Nur Suri Afiena Dalin.
"Alhamdulillah ada ramai bantu selepas kesusahan saya tular di laman sosial. Buat masa ini Nur Suri Afiena Dalin di bawah jagaan nenek saudaranya yang tinggal tidak jauh dari rumah.
"Ada juga yang datang memohon kebenaran untuk menjaga Nur Suri Afiena Dalin," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tempoyak dekat sini semalam.
Bagaimanapun Suhaimi berkata, dia terpaksa menolak dan memberitahu kudratnya masih kuat untuk menyara tujuh anak, malah Mohamad Shakir Aidi banyak membantu menguruskan adik-adiknya dengan cukup sempurna.
Terdahulu Suhaimi menerima kunjungan dari Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (VIC) Cawangan Tumpat, Norhanim Che Juhari yang hadir menyampaikan sumbangan.
Sementara itu Norhanim berkata, VIC turut bersetuju menjadikan anak-anak Suhaimi sebagai anak angkat kepada badan itu dan akan berusaha memastikan anak-anak Suhaimi mendapat pelajaran sebaik mungkin.
Dalam pada itu, bantuan boleh disalurkan ke akaun Suhaimi, 0300741100031316 (BSN ) atau hubunginya di talian 01114386647.