Covid-19: Video pendek bahasa isyarat untuk cacat pendengaran

Iklan
Video dalam bahasa isyarat adalah medium penyampaian yang paling berkesan dan cepat kepada komuniti pekak berbanding mesej berformat teks. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Bagi memastikan orang kurang upaya (OKU) pendengaran tidak tercicir dalam mendapatkan maklumat penting mengenai wabak koronavirus (Covid-19), beberapa jurubahasa isyarat dan individu pekak mengambil inisiatif menghasilkan video pendek untuk komuniti itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Amir Hamidi Abdul Manan berkata, video dalam bahasa isyarat itu adalah antara lain mengenai nasihat duduk di rumah serta langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, video dalam bahasa isyarat adalah medium penyampaian yang paling berkesan dan cepat kepada komuniti pekak berbanding mesej berformat teks.

"Majoriti orang pekak kurang menguasai bahasa lisan dan tulisan seperti bahasa Malaysia (BM) atau English (bahasa Inggeris) dengan baik, maka mereka menghadapi kesukaran untuk memahami mesej teks yang tinggi bahasanya.

Iklan

"Jadi bahasa isyarat adalah bahasa pertama kepada mereka kemudian baru bahasa kedua seperti BM, English dan lain-lain. Mereka amat bergantung pada visual iaitu bahasa isyarat untuk memahami dengan cepat lagi jelas,” katanya kepada Bernama.

Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas, penghasilan video bahasa isyarat dilakukan secara sukarela oleh jurubahasa isyarat dan individu pekak dari rumah yang kemudiannya ia dikongsi di platform media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Iklan

Amir Hamidi yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata selain itu, mesej infografik yang mudah dibaca seperti statistik kes jangkitan dan gambar berkaitan wabak Covid-19 juga banyak membantu golongan pekak memahami maklumat yang disampaikan.

Mengenai khidmat jurubahasa isyarat di Radio Televisyen Malaysia dalam menyampaikan perkembangan sidang media harian Covid-19, beliau berkata, langkah itu amat membantu orang pekak mengikuti maklumat terkini secara ‘live’ (siaran langsung).

"Ya, ia amat membantu, satu akses yang sama rata. Tanpanya, orang pekak terpaksa tercari-cari dan mendapatkan salinan teks ucapan daripada internet selepas sidang media tersebut.

"Oleh itu adanya jurubahasa isyarat dalam siaran langsung adalah keperluan asas yang paling dihendaki dan paling menbantu orang pekak,” katanya.

Amir Hamidi turut mencadangkan supaya skrin jurubahasa isyarat seharusnya separuh atau satu perempat daripada halaman skrin televisyen mengikut standard antarabangsa.

Ini kerana, katanya skrin yang kecil boleh menyukarkan penglihatan orang pekak kepada pergerakan tangan jurubahasa yang menyebabkan mesej yang diterjemahkan tidak sampai kepada golongan itu.

Dalam pada itu, jurubahasa isyarat Radio Televisyen Malaysia, Tan Lee Bee yang berkongsi pengalamannya menterjemah berita berkaitan Covid-19 berkata, beliau menggunakan bahasa isyarat yang mudah supaya semua peringkat orang pekak dapat memahami apa yang disampaikan.

Katanya, sebagai contoh perkataan ‘frontliners’ atau petugas barisan hadapan diterjemahkan dalam bahasa isyarat kepada polis, doktor dan pekerja di hospital begitu juga perkataan ‘memerangi’ ditukar kepada isyarat ‘memberhentikan’ yang lebih senang difahami.-Bernama