SHAH ALAM - Sebuah bas kilang dan lori ditunda Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam selepas pemiliknya meletakkan kenderaan berat itu dibahu jalan di Seksyen U13, di sini.
Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat diadakan oleh Jabatan Penguatkuasaan, Bahagian Perundangan, Pejabat Cawangan Setia Alam dengan bantuan agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Iklan
Iklan
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, penundaan kenderaan berat itu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Operasi ini diadakan bertujuan mengesan dan membanteras masalah kenderaan berat yang diparkir di kawasan awam, kediaman dan rizab jalan.
"Tindakan pemiliknya meletakkan kenderaan ditempat yang salah menyusahkan orang awam yang menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan kediaman, kerosakan kawasan hijau, menghalang lalu lintas serta mengehadkan pemandangan disebabkan saiz kenderaan yang besar," katanya.
Katanya, operasi berkala akan dilakukan bagi mengatasi aduan awam.
"Bagi kenderaan berat yang tidak dialihkan, kenderaan tersebut akan ditunda dan akan dikompaun sebanyak RM2,300 tidak termasuk caj simpanan di depoh RM50 sehari," katanya.