Permohonan Kiss untuk ibu tunggal dibuka secara dalam talian

Iklan
Dr Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bakal membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai permohonan Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang akan dibuka secara dalam talian khas buat ibu tunggal di negeri ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya mendapati Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor di bawah kendalian Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) sebelum ini menerima sambutan amat menggalakkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menerima banyak permohonan oleh ibu tunggal daripada pelbagai kaum dan kategori yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

"Oleh sebab itu, dalam tempoh seminggu lagi, insya-ALLAH kerajaan negeri akan umumkan untuk membuka permohonan Kiss ini secara dalam talian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Sehingga kini, difahamkan, Jakess telah menerima sebanyak 1,618 permohonan Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor kepada ibu tunggal yang terjejas susulan pelaksanaan PKP.

Mengulas lanjut mengenai bantuan Kiss buat ibu tunggal berkenaan, Siti Mariah berkata, permohonan bagi inisiatif itu sebenarnya sudah dibuka melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di setiap kawasan sebelum ini.

Iklan

"Namun saya tak tahu mengapa, mungkin ramai tak tahu ada bantuan Kiss untuk ibu tunggal ini.

"Jadi dengan permohonan secara dalam talian selepas ini, kita akan kemaskini semua maklumat untuk pastikan ibu tunggal yang layak menerima bantuan ini," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan memohon dana tambahan daripada kerajaan Selangor untuk membantu golongan ibu tunggal di negeri ini, Siti Mariah berkata, tiada keperluan bagi tujuan itu buat masa ini.

"Sekarang ini kita masih ada peruntukan Kiss, jadi guna yang itu dulu," katanya.