Empat lagi langkah Pakej Prihatin dilaksanakan Mei ini

Iklan
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan empat langkah utama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS Tambahan bernilai RM66 bilion menjelang 1 Mei depan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia selaras dengan jadual pelaksanaan yang dirancang.

Iklan
Iklan

"Langkah tersebut adalah kemudahan skim jaminan pinjaman oleh Danajamin bernilai RM50 bilion," katanya menerusi Facebooknya sebentar tadi.

Menurutnya, program khidmat rundingan majikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan turut dilakukan.

Iklan

"Ia bagi membantu memberi penjimatan aliran tunai majikan sehingga RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata, projek kerajaan yang berskala kecil akan turut dimulakan untuk memberi memanfaat RM4 bilion kepada kontraktor kecil.

Iklan

"Selain itu, kerajaan akan memberi geran Prihatin khas kepada PKS mikro yang bernilai RM2.1 bilion," katanya.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 12 April, pelaksanaan kesemua Pakej Prihatin berjalan dengan lancar.

"Daripada 10 langkah utama keseluruhan pakej ini, enam langkah yang bernilai RM180 bilion telah pun bermula," katanya.

Enam langkah tersebut terdiri daripada moratorium bayaran pinjaman institusi perbankan berjumlah RM100 bilion, kemudahan i-Lestari bagi pengeluaran Akaun 2 KWSP yang berjumlah RM40 bilion dan peruntukan RM13.8 bilion subsidi upah yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar minimum caruman pekerja KWSP, peruntukan RM10 bilion bantuan Prihatin Nasional dan kemudahan Bantuan Khas RM5 bilion yang disediakan Bank Negara Malaysia.

Dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM250 bilion merupakan pakej rangsangan ekonomi terbesar dalam kalangan negara membangun seluruh dunia.

Jumlah besar tersebut adalah untuk memastikan tiada golongan dan lapisan rakyat yang akan tercicir daripada menerima bantuan dan ketinggalan dari meraih manfaat usaha-usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi negara.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan memastikan jenteranya terus beroperasi bagi kelangsungan pelaksanaan langkah Pakej Prihatin, terutamanya langkah yang menyumbang kepada kebajikan rakyat serta peningkatan aktiviti ekonomi negara.

"Saya berharap agar rakyat dan PKS yang masih belum mendapat manfaat yang disediakan, segeralah membuat permohonan.

"Insya-ALLAH, kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertimbangkan semua permohonan," katanya.

Malaysia mengalami kesan ekonomi yang buruk selepas pandemik Covid-19 menular di seluruh negara.

Ia memaksa kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan menerusi tiga peringkat bermula 18 Mac lalu.