PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau bekalan dan harga 25 barang keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara barangan yang dipantau termasuk barang makan kering seperti gula, minyak masak, beras dan roti putih.
"Bagi barang segar pula seperti ayam, sayur-sayuran, telur, bawang dan susu segar manakala barang kebersihan dan kesihatan ialah cecair pembasmi kuman, topeng muka, tisu tandas, lampin bayi dan dewasa," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.
Katanya, semalam, penguatkuasa KPDNHEP telah membuat pemantauan harian di 1,133 pemeriksaan premis perniagaan termasuk 844 peruncit, 260 pemborong dan 29 pengilang.
"Ingin ditegaskan sekali lagi, bekalan makanan dan keperluan asas harian adalah mencukupi. Tiada sebab untuk membuat pembelian panik.
"Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat mengenai sikap sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan keperluan sewenang-wenangnya.
Jelasnya, penguatkuasaan Skim Harga Maksimum PKP yang bermula esok sehingga 28 April nanti akan memastikan 12 barangan keperluan harian dapat dikawal seperti ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, tomato, kubis dan ikan kembung.
"Perincian mekanisme Skim Harga Maksimum PKP akan diumumkan oleh KPDNHEP," katanya.