Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong disahkan masih menghidapi jangkitan Covid-19 selepas hampir sebulan menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lepas.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 67.01 meter (m) itu berkata, sampel ujian Covid-19 terbaharu yang diambil kelmarin menunjukkan keputusan positif.
Menurut Jackie, 27, meskipun disahkan masih positif, tahap kesihatannya bertambah baik dari semasa ke semasa dengan beberapa gejala seperti selesema dan batuk telah berkurangan.
Bagaimanapun, Jackie berkata, penyakit asma yang dihidapi mungkin sedikit mempengaruhi tahap kesihatannya, namun keadaan itu sehingga kini tidak memerlukan dia menggunakan alat bantuan pernafasan.
"Saya tidak dapat pastikan sudah tujuh atau lapan kali ujian dilakukan ke atas saya sejak masuk ke sini (Hospital Sibu). Ujian paling terbaharu adalah semalam dan pada tengah hari tadi doktor sahkan keputusannya positif.
"Gejala seperti batuk masih ada sehingga kini tapi semakin berkurangan. Setakat ini kesihatan saya semakin meningkat cuma asma saya mungkin sedikit menyukarkan keadaan tetapi ia masih terkawal tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Jackie merupakan atlet negara pertama disahkan positif Covid-19 selepas dipercayai dijangkiti menerusi bapanya yang turut disahkan positif dan kini sedang menjalani rawatan di hospital sama.
Terdahulu, keputusan sampel ujian kali ketiga Jackie pada 28 Mac menunjukkan keputusan negatif, namun pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu terpaksa melupakan hasrat pulang ke rumah selepas ujian kali keempat pada 30 Mac didapati positif. - Bernama