GELUGOR - Universiti Sains Malaysia (USM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan berita palsu di laman sosial mengenai kebajikan pelajar di universiti itu sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hal ini berikutan tular di Facebook dan Twitter yang mendakwa pihak USM tidak menjaga kebajikan makan dan minum pelajarnya sepanjang PKP.
USM dalam satu kenyataan berkata, pihak universiti memandang serius mengenai berita palsu berkenaan.
"Pihak USM sedang menyiasat dan mengkaji keperluan untuk mengambil tindakan undang-undang jika terbukti ia dilakukan dengan sengaja untuk memfitnah universiti,” katanya.
Pada masa yang sama, USM juga berharap agar tiada pihak yang mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya apatah lagi menyebarkan berita palsu kerana ia bukanlah budaya universiti.