RAKHINE - Lapan individu maut ditembak di Rakhine Isnin lalu tetapi pihak tentera menolak bahawa pasukannya terlibat di dalam kejadian tersebut.
Menurut Al Jazeera, pihak tentera mendakwa tidak mendapat sebarang maklumat mengenai kejadian itu
Jurucakap tentera, Major General Tun Tun Nyi berkata, memang terdapat pertempuran di utara Rakhine namun tidak berlaku kejadian tembak-menembak.
"Kami juga masih belum menerima pengesahan korban orang awam setakat ini,” tambahya.
Tun Maung, seorang penggubal undang-undang Ponnagyun berkata, beliau melawat kampung Kyauk Seik dan mendapati lapan individu meninggal dunia.
Seorang pegawai kerajaan tempatan di kampung itu, Tun Aye memberikan angka kematian yang sama.
Tentera Arakan (AA) dalam satu kenyataannya juga memaklumkan tiada pertembungan antara tentera dan pejuangnya di kawasan itu pada Isnin lalu.
Mereka juga pada masa sama menyalahkan tentera kerajaan atas kejadian itu.
Angkatan Bersenjata Myanmar telah bertempur dengan AA, sebuah kumpulan pemberontak yang mencari autonomi yang lebih besar untuk wilayah barat, selama lebih dari satu tahun.