Dana RM1 juta bantu gelandangan: Annuar

Iklan
Annuar Musa

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan dana RM1 juta bagi program membantu gelandangan ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebahagian dana berkenaan akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk program termasuk khidmat kaunseling dan kesihatan manakala selebihnya untuk menyediakan kemudahan dan keperluan golongan tersebut.

Iklan
Iklan

"Jangan anggap aspek gelandangan ini sesuatu yang mudah. Banyak yang bawa isu ini gagal apabila ada gelandangan yang dibantu kembali ke tempat asal," katanya ketika Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Annuar berkata, pendekatan membantu gelandangan itu bersifat mampan dengan pelan jangka masa panjang selain kerjasama NGO bagi membantu menyedarkan golongan itu supaya meninggalkan kebiasaan mereka.

Iklan

"Walaupun ada masalah sosial, keluarga, kewangan, kita tidak mahu melihat orang kita terjebak sebagai gelandangan," katanya.

Beliau mengalu-alukan sukarelawan, syarikat korporat dan pakar untuk turut serta menjayakan misi membantu golongan gelandangan.

Iklan

"Satu jawatankuasa khas projek bantu gelandangan ini akan dianggotai pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta beberapa NGO.

"Saya juga mengalu-alukan syarikat korporat untuk turut serta menyalurkan sumbangan kepada dana khas itu bagi membolehkan perancangan jangka panjang untuk gelandangan dapat dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 70 gelandangan bukan warganegara yang ditempatkan di pusat penempatan dewan serbaguna Alam Damai di sini yang menjalani saringan koronavirus (Covid-19) disahkan negatif wabak itu.