CAMERON HIGHLANDS - Penduduk Orang Asli di Pos Terisu berharap pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di situ dapat dibuka semula.
Tok Batin Kampung 3, Jaafar Timur berkata, ini kerana penutupan pejabat Jakoa sejak 10 tahun lalu menyukarkan penduduk membuat urusan.
"Pejabat Jakoa di sini dah lama tak berfungsi, kira-kira 10 tahun. Kalau nak berurusan kami terpaksa ke Tanah Rata dengan jarak hampir satu jam.
"Misalnya, kalau ada penduduk nak berkahwin urusan jadi sukar kerana pejabat Jakoa jauh. Kami berharap pejabat Jakoa diwujudkan semula di Pos Terisu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagaimanapun, katanya, pegawai Jakoa akan tetap turun ke kampung itu setiap bulan.
Hasil pemerhatian Sinar Harian mendapati kawasan sekitar pejabat Jakoa yang terbiar telah dipenuhi semak dan tidak boleh dimasuki.
Dalam perkembangan lain, Jaafar berkata, penduduk di kampungnya menyatakan sokongan terhadap calon BN, Ramli Mohd Nor dalam PRK Cameron Highlands.
"Kampung saya memang tak ragu-ragu akan pilih Ramli kerana ini kali pertama calon dalam kalangan Orang Asli.
"Kami sangat berharap Ramli akan menang kerana mudah nak berurusan dengan beliau," katanya.