Para suami, sudahkah bersedia jadi imam tarawih di rumah?

Iklan

TIDAK sampai 10 hari lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Merak Jalanan faham, bulan puasa tahun ini begitu berbeza sekali.

Dengan wabak Covid-19 yang masih menular, tradisi seperti bazar Ramadan dan solat tarawih secara berjemaah di masjid mungkin akan tinggal kenangan.

Iklan
Iklan

Di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar solat Jumaat, solat jemaah dan aktiviti Ramadan seperti solat tarawih di masjid ditangguhkan sehingga 31 Mei depan iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Bagi sebahagian besar umat Islam di Malaysia, solat tarawih sangat sinonim dengan bulan Ramadan.

Iklan

Malah, ada yang merasakan solat tarawih seolah-olah sama wajibnya seperti ibadah puasa. Kalau waktu siang berpuasa, sebelah malamnya mereka wajib solat sunat tarawih.

Tapi disebabkan solat tarawih mungkin tidak lagi boleh dibuat di masjid, maka pastinya ketua keluarga sama ada bergelar suami atau bapa, sudah pasti perlu bersedia menjadi imam solat tarawih di rumah masing-masing.

Iklan

Merak Jalanan cuba membayangkan alangkah indahnya jika para suami dapat menjadi imam tarawih di rumah pada Ramadan ini.

Cumanya, sudahkah para suami bersedia menggalas tugas tersebut di rumah kalau mereka sebelum ini sering mengelak bila disuruh menjadi imam walaupun hanya solat Zuhur atau Asar yang tidak memerlukan imam membaca dengan suara yang kuat?

Justeru, gunakanlah tempoh 10 hari ini untuk mengulang hafalan surah-surah lazim. Untuk solat tarawih lapan rakaat, para suami kena bersedia dengan lapan surah sahaja.

Merak Jalanan yakin mungkin inilah salah satu hikmah wabak Covid-19. Sebenarnya, tidak perlu pun membaca surah ala-ala Imam Mekah. Cukuplah membaca dengan betul, itu pun kalau kena gaya, isteri dan anak-anak boleh mengalir air mata.