Agong adakan mesyuarat Pra-Kabinet melalui sidang video

Iklan
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri semasa Mesyuarat Pra-Kabinet menerusi sidang video di Istana Negara pagi ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan sesi Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi sidang video itu julung kali diadakan untuk Mesyuarat Pra-Kabinet berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 28 April bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan supaya mesyuarat Pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan untuk Seri Paduka Baginda berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin khususnya berkenaan isu semasa.

"Ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat kerana secara lazimnya, Seri Paduka Baginda akan berangkat ke Istana Melawati di Putrajaya untuk mesyuarat-mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Iklan

Ahmad Fadil berkata, sesi itu berlangsung selama 45 minit dari jam 8.30 pagi dengan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mesra serta saling bertanya khabar selain penuh teliti ketika perbincangan itu.

Beliau berkata, dalam sidang video itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah di atas keprihatinan Seri Paduka supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Iklan

"Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas sokongan Seri Paduka terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh PKP untuk fasa ketiga sehingga 28 April 2020,” katanya.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 18 Mac lalu kerana pada minggu berikutnya Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga telah dinasihatkan untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari di Istana Negara bermula 25 Mac.

Ia susulan tujuh petugas Istana Negara disahkan positif Covid-19.

Seri Paduka berdua dan keluarga dalam tempoh kuarantin itu turut menjalani beberapa proses saringan dan pengesanan jangkitan wabak itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan telah disahkan negatif Covid-19.

Ahmad Fadil berkata, Muhyiddin turut melahirkan rasa syukur Seri Paduka dan keluarga bebas Covid-19 setelah selamat menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari. - Bernama