Asyraf Wajdi persoal kewajaran benar tiga sektor beroperasi

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kewajaran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membenarkan tiga sektor ekonomi kembali beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Beliau berkata, ini kerana negara masih lagi bergelut untuk memastikan rantaian koronavirus (Covid-19) diputuskan melalui PKP fasa ketiga yang bermula hari ini.

Iklan
Iklan

"Apakah benar dakwaan ia memanfaatkan seramai dua juta pekerja rakyat tempatan sedangkan semua maklum sektor pembinaan sahaja majoritinya pekerja asing?

"Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 334 kelmarin sahaja dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing?" katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Iklan

Malam tadi Mohamed Azmin menerusi Facebooknya memaklumkan kerajaan membenarkan sektor-sektor ekonomi yang kritikal untuk terus beroperasi demi menjamin pekerjaan rakyat dan kelangsungan ekonomi.

Menurutnya, langkah itu menyelamatkan dua juta pekerjaan daripada tiga sektor terpenting iaitu pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, elektrikal dan engineering serta industri mesin dan peralatan.

Iklan

Katanya, syarikat yang dibenarkan beroperasi harus memastikan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dipenuhi dan mempraktikkan norma baharu supaya penularan wabak dapat dibendung.

Mengulas perkara tersebut, Asyraf Wajdi berharap keputusan membenarkan tiga sektor itu selepas mendapat pandangan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengenainya.